Site icon TechNave BM

vivo APEX 2020 akan dilengkapi Super FlashCharge 120W, mampu capai pengecasan penuh secepat 13 minit

Telefon pintar vivo APEX 2020 yang bakal diumumkan dalam Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) 2020 di Barcelona akan dilengkapi teknologi pengecasan pantas Super FlashCharge 120W.

Teknologi inovatif yang dipelopori vivo itu membuatkan bateri berkapasiti 4,000mAh dalam telefon APEX 2020 boleh dicas daripada kosong ke 50 peratus dalam hanya lima minit, menurut ujian dalam makmal. Manakala pengecasan penuh pula akan mengambil masa 13 minit sahaja.

Super FlashCharge 120W juga menampilkan sebuah teknologi pam cas (charge pump) serta pengecas mudah alih dan kabel data Type-C yang boleh diubahsuai. Setakat ini, masih tiada butiran lanjut berkaitan spesifikasi penuh untuk APEX 2020.

vivo APEX sebelum ini terkenal dengan rekaan skrin tanpa sempadan dan ketiadaan port pengecasan atau sebarang butang fizikal, digantikan dengan sensor sentuh dan teknologi pengecasan magnetik konduktif MagPort. Anda boleh baca ulasan kami tentang telefon pintar tersebut di sini.

Bagaimanakah agaknya spesifikasi telefon vivo APEX tahun ini? Berikan ramalan anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version