Site icon TechNave BM

vivo dan iQOO dijangka naikkan harga telefon pintar tidak lama lagi

Trend kenaikan harga telefon pintar dilihat semakin ketara apabila beberapa pengeluar utama mula melaksanakan pelarasan harga di pasaran. OPPO dan OnePlus dilaporkan telah mula menaikkan harga peranti masing-masing sejak 16 Mac manakala vivo dan iQOO dijangka mengikuti langkah sama bermula 18 Mac 2026.

Walaupun pengumuman awal tertumpu kepada pasaran China, kesannya dijangka turut dirasai di peringkat global termasuk Malaysia. Setakat ini, pengeluar hanya memaklumkan bahawa kenaikan harga melibatkan model tertentu tanpa mendedahkan senarai penuh peranti yang terjejas yang menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan pengguna.

Antara faktor utama kenaikan harga adalah peningkatan kos komponen khususnya semikonduktor dan storan yang semakin mahal. Permintaan tinggi terhadap cip didorong oleh perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) turut memberi tekanan kepada rantaian bekalan global yang meningkatkan kos pengeluaran peranti.

Selain itu, risiko kekurangan helium yang digunakan dalam proses pembuatan cip turut menambah kebimbangan industri. Penganalisis sebelum ini telah menjangkakan trend kenaikan harga telefon pintar dan perkembangan terkini menunjukkan situasi tersebut kini semakin menjadi realiti dengan lebih banyak jenama dijangka akan menyusul dalam masa terdekat.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version