Site icon TechNave BM

vivo didakwa sedang menguji telefon dengan bateri 12,000mAh

vivo dilaporkan sedang menguji sebuah telefon pintar dengan kapasiti bateri sebesar 12,000mAh yang menjadikannya antara yang terbesar pernah diuji dalam industri telefon pintar setakat ini. Peranti berkenaan menggunakan bateri single-cell berasaskan silikon dengan kapasiti penilaian sekitar 10,000mAh manakala kapasiti tipikalnya boleh mencecah antara 11,000mAh hingga 12,000mAh.

Ia juga dilaporkan beroperasi pada voltan sekitar 4.53V dan berbeza daripada kebanyakan telefon mercu semasa yang menggunakan konfigurasi dual-cell untuk menyokong pengecasan pantas. Langkah ini dilihat sebagai lanjutan trend industri yang kini menyaksikan peningkatan kapasiti bateri secara agresif.

Sumber: Weibo

Pada masa ini, kapasiti sekitar 5,000mAh dianggap standard manakala telefon dengan 6,000mAh hingga 8,000mAh semakin meluas di pasaran China. Malah, peranti dengan kapasiti 10,000mAh sudah mula diperkenalkan oleh beberapa pengeluar dalam segmen tertentu. Namun, sumber menegaskan bahawa peranti 12,000mAh ini masih berada dalam fasa ujian dalaman dan belum ada pengesahan sama ada ia akan dilancarkan secara komersial dalam masa terdekat.

Sumber turut mendakwa bahawa telefon mercu utama vivo untuk tahun ini dijangka tidak melepasi 9,000mAh manakala sub-jenama seperti iQOO berpotensi mencapai kapasiti tersebut. Sekiranya teknologi ini berjaya dikomersialkan, ia berpotensi menawarkan ketahanan penggunaan berhari-hari dalam satu kitaran cas dan mengubah jangkaan pengguna terhadap hayat bateri telefon pintar.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version