Site icon TechNave BM

vivo kini jenama telefon pintar terlaris di China

Jenama telefon pintar vivo baru-baru ini telah diiktiraf sebagai jenama telefon paling laris di China buat kali pertama, mengalahkan pesaing ketatnya OPPO dan juga HUAWEI. Maklumat ini adalah berdasarkan data daripada Counterpoint Research Smartphone Weekly Tracker untuk minggu ke-11 2021 yang berlangsung pada 8-14 Mac.

vivo berjaya menduduki tempat pertama selepas melancarkan telefon bajet vivo Y3 dan vivo S9, membuatkannya telefon terlaris untuk minggu ke-11 dan ke-13. Sebanyak 76% daripada jualan vivo untuk Februari 2021 di China terdiri daripada telefon 5G.

Graf jualan vivo, OPPO dan HUAWEI di China oleh Counterpoint

Pesaing yang berada di tempat kedua, OPPO, mendapat tempat pertama pada awal tahun ini dengan penjenamaan semula telefon pintar Reno serta jualan laris untuk siri OPPO A. Walaupun OPPO dan vivo adalah dua syarikat berlainan, kedua-dua syarikat berada di bawah naungan BBK Electronics yang turut memiliki OnePlus dan realme.

Sementara itu, HUAWEI pula masih berada pada tangga ketiga akibat daripada sekatan dagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS). Syarikat jenama telefon China yang lain kini sedang berusaha untuk menggantikan HUAWEI sebagai jenama telefon pintar terlaris di negara tersebut.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Counterpoint

Exit mobile version