Site icon TechNave BM

vivo Pad dilancar: Tablet dengan skrin 11″ 120Hz, Snapdragon 870, bateri 8,040mAh bermula ~RM1,670

Selain melancarkan telefon lipat pertama, vivo turut melakar sejarah apabila ia melancarkan tablet pertamanya di China iaito vivo Pad. Tablet ini mempunyai skrin 11 inci serta boleh digabungkan dengan sebuah sarung papan kekunci dan stilus untuk digunakan seperti komputer riba.

Skrinnya mempunyai kadar segar semula 120Hz, resolusi 2560×1600 dan menyokong teknologi Dolby Vision. Di sebelah kamera swafoto tablet ini, terdapat sensor kedalaman 3D ToF untuk menghasilkan imej yang lebih cantik.

Daripada segi rekaan luaran, vivo Pad mempunyai ketebalan 6.55mm, berat 498 gram dan dibuat dengan aluminium bertaraf penerbangan.

Tablet ini turut dilengkapi cipset Snapdragon 870, RAM 8GB, storan dalaman 128GB atau 256GB, bateri 8,040mAh, pengecasan pantas 44W dan sistem operasi Origin OS HD.

Satu ciri yang menarik adalah ia boleh dihubungkan dengan telefon pintar vivo melalui NFC, dan skrin telefon itu akan dipaparkan pada tablet. Pengguna kemudian boleh berinteraksi dengan telefon melalui paparan tersebut atau memindahkan fail dengan mudah.

Port USB-C pada tablet ini mempunyai rating USB 3.2 Gen 1 (5Gbps) jadi anda boleh hubungkan storan berprestasi tinggi atau skrin luaran 4K 60Hz.

vivo Pad akan dijual di China pada harga CNY2,499 (~RM1,670) untuk varian 8GB+128GB dan CNY2,999 (~RM2,000) untuk varian 8GB+256GB. Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version