Site icon TechNave BM

vivo Pad2 dilancar: Tablet dengan skrin 12.1″, Dimensity 9000, bateri 10,000mAh bermula ~RM1,620

Selain melancarkan dua buah telefon pintar lipat baharu untuk tahun ini, vivo turut melancarkan tabletnya yang kedua iaitu vivo Pad2. Tablet ini mempunyai spesifikasi yang agak menarik, dengan skrin besar berukuran 12.1 inci dan bateri besar berkapasiti 10,000mAh.

Tablet ini mempunyai skrin dengan panel IPS LCD, resolusi 1800×2880, nisbah aspek 7:5 dan kadar segar semula 144Hz. Di belakang, ia mempunyai rekaan unibody yang dibuat daripada besi dan pilihan warna kelabu, biru atau ungu.

Spesifikasi dalamannya terdiri daripada cipset MediaTek Dimensity 9000, RAM sehingga 12GB, storan dalaman sehingga 512GB, bateri 10,000mAh dan pengecasan pantas 44W. Sistem operasinya adalah Android 13 dengan antara muka OriginOS 3.

Tablet ini turut mempunyai empat pembesar suara yang ditala oleh Golden Ear. Ia turut boleh dihubungkan dengan sarung (cover case) yang mempunyai papan kekunci, pan penjejak dan stilus.

Jika dibandingkan dengan vivo Pad pertama yang dilancar pada April 2022, vivo Pad2 menawarkan penambahbaikan yang ketara daripada segi saiz skrin, kadar segar semula, kapasiti bateri dan spesifikasi dalaman.

vivo Pad2 akan dijual di China pada harga bermula CNY2,499 (~RM1,620) untuk varian 8GB+128GB. Setakat ini masih tiada maklumat mengenai keberadaannya di Malaysia.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan tablet ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version