Site icon TechNave BM

vivo V20 Pro 5G dilancar: Snapdragon 765G, AMOLED, dwi-kamera swafoto berharga ~RM1,975

vivo semalam telah melancarkan telefon terbaru dalam siri V iaitu vivo V20 dan vivo V20 Pro 5G untuk pasaran Thailand. Kedua-dua telefon kelas pertengahan ini menampilkan spesifikasi yang agak baik, seperti cipset Snapdragon dan pengecasan pantas 33W.

vivo V20 Pro 5G dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.44 inci dengan resolusi Full HD+, cipset Snapdragon 765G, RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Penggemar swafoto tentu akan menyukai telefon ini kerana ia dilengkapi dua kamera hadapan iaitu kamera 44MP f/2.0 dengan Eye Autofocus dan kamera ultra-lebar 8MP f/2.28 dengan medan penglihatan 105°. Dwi-kamera hadapan ini dilengkapi mod malap untuk swafoto yang lebih cantik pada waktu malam, rakaman 4K dan gerak perlahan.

Di belakang pula, vivo V20 Pro dilengkapi kamera utama 64MP, kamera ultra-lebar 120° dan kamera mono 2MP. Selain itu, ia mempunyai bateri 4,000mAh, pengecasan pantas 33W, sokongan dwi-kad SIM, pembesar suara stereo dan pengimbas cap jari dalam skrin.

Sementara itu, vivo tidak memberikan banyak butiran tentang vivo V20. Bezanya dengan V20 Pro adalah ia mempunyai satu kamera hadapan 44MP dan cipset Snapdragon 720G. Selain daripada itu, spesifikasinya lebih kurang sama iaitu RAM 128GB, storan 128GB, bateri 4,000mAh, pengecasan 33W dan tiga kamera di belakang termasuk kamera utama 64MP.

vivo V20 Pro 5G akan dijual pada harga TH฿14,999 (~RM1,975). Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Sebaliknya, vivo V20 SE akan dilancar di Malaysia pada Khamis ini (24 September). Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: vivo Thailand

Exit mobile version