Site icon TechNave BM

vivo V60 Lite 5G dilancar di Malaysia: AMOLED 120Hz, cas pantas 90W, kamera 50MP bermula RM1,199

Selepas memperkenalkan siri vivo V60 pada bulan Ogos lalu, hari ini vivo Malaysia melancarkan sebuah lagi varian baharu iaitu vivo V60 Lite 5G. Ia merupakan varian termurah dalam siri V60, namun masih dilengkapi pelbagai spesifikasi canggih untuk kegunaan harian.

Telefon ini dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.77 inci dengan kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 3,000 nits dan menyokong kandungan HDR10+. Sewaktu menonton video atau mendengar lagu, telefon ini mempunyai pembesar suara stereo yang boleh memainkan volume pada tahap sehingga 400%.

Badannya mampu menahan impak tinggi kerana ia mempunyai pengiktirafan SGS Five-Star Drop Resistance serta pengiktirafan tentera. Walaupun jika ia jatuh dari ketinggian dua meter pada permukaan yang keras, telefon ini masih mampu berfungsi seperti biasa serta tahan calar.

Baterinya berkapasiti 6,500mAh dan menyokong kadar pengecasan pantas 90W. vivo mengatakan daripada pengecasan penuh, bateri ini mampu memainkan video YouTube selama 27.5 jam atau bermain game sehingga 12 jam.

Daripada segi ketahanan, vivo mengatakan bateri ini masih boleh mengekalkan kapasiti dan penggunaan yang serupa walaupun selepas lima tahun. Sewaktu bermain game pula, ia mempunyai fungsi bypass charging yang bermaksud tenaga elektrik akan dihalakan ters kepada komponen dalaman telefon, supaya penjanaan haba boleh direndahkan dan lantas melindungi kesihatan bateri.

Untuk perisian, ia dilengkapi Android 15 dan bakal menerima kemas kini keselamatan selama enam tahun.

Untuk fotografi pula, ia masih mempunyai beberapa fungsi suntingan AI yang terdapat pada varian V60 lain, seperti AI Master Aura Light untuk hasilkan gambar mod potret yang cantik menggunakan lampu Aura Light di belakang, Vintage Shot untuk hasilkan efek fotgrafi filem dan AI Four-Season Portrait untuk hasilkan latar belakang berdasarkan empat musim.

Satu perbezaan utama antara V60 Lite dengan varian V60 lain adalah ia tidak mempunyai fungsi fotografi Zeiss untuk menghasilkan latar belakang yang cantik dalam mod potret.

Berikut merupakan spesifikasi penuh untuk vivo V60 Lite 5G:

Pra-tempahan telah pun dibuka jika anda ingin belinya dengan harga promosi. Setiap pra-tempahan akan disertakan dengan hadiah percuma termasuklah vivo Buds, Holiday Vibes Gift Set, waranti lanjutan 1+1 tahun, perlindungan retak skrin 1 tahun dan waranti penutup belakang 1 tahun.

Anda juga boleh membelinya secara ansuran melalui Grab PayLater atau sPayLater, di mana anda boleh dapatkan penjimatan RM100. Untuk tambahan penjimatan, anda boleh buat pertukaran (trade-in) dengan peranti lama anda.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version