Site icon TechNave BM

vivo X Fold dan X Note dilancar: Telefon lipat pertama vivo dengan SD 8 Gen 1 bermula ~RM3,980

vivo kini menjadi sebuah lagi jenama teknologi yang menghasilkan telefon pintar lipat, di mana telefon lipatnya yang pertama ialah vivo X Fold. Selain itu, jenama China itu turut melancarkan sebuah lagi telefon pintar standard iaitu vivo X Note.

vivo X Fold mempunyai skrin luaran AMOLED berukuran 6.53 inci dan skrin lipat AMOLED LTPO3 E5 berukuran 8.03 inci, di mana setiap skrin ini mempunyai pengimbas cap jari dalam skrin. Spesifikasi dalamannya terdiri daripada Snapdragon 8 Gen 1, bateri 4,600mAh, pengecasan pantas 66W dan pengecasan wayarles 50W.

Kamera vivo X Fold juga turut diberi keutamaan oleh vivo di mana ia telah dihasilkan dengan kerjasama syarikat optikal terkenal Zeiss. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Samsung GN5, kamera zum 12MP, kamera zum periskop 5x dengan zum digital 60x dan kamera ultra-lebar 48MP.

Buat masa ini, vivo X Fold hanya dijual di China pada harga bermula CNY8,999 (~RM5,970). Warna yang ditawarkan adalah hitam, biru dan kelabu.

Sementara itu, vivo X Note pula menawarkan reka bentuk standard dengan skrin AMOLED berukuran 7 inci, resolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Ia juga mempunyai cipset Snapdragon 8 Gen 1 namun baterinya mempunyai kapasiti yang lebih besar iaitu 5,000mAh dan pengecasan lebih pantas iaitu 80W.

Modul kameranya terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera ultra-lebar 48MP, kamera potret 12MP dan kamera periskop 8MP. Ia akan dijual di China pada harga CNY5,999 (~RM3,980).

Setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaan kedua-dua peranti ini di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon lipat vivo ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version