Site icon TechNave BM

vivo X200 FE akan dilancar di Malaysia tidak lama lagi

Telefon pintar vivo X200 FE yang akan datang dijangka dilancarkan lebih awal daripada jangkaan. Sebuah laporan sebelum ini menyatakan pelancarannya pada bulan Julai, namun pendedahan baharu oleh Paras Guglani mendakwa pelancaran global kini dijadualkan pada 30 Jun. Dakwaan ini disokong dengan gambar kotak runcit serta imej sebenar peranti dalam empat pilihan warna iaitu hitam,biru, kuning dan merah jambu.

Reka bentuknya kelihatan sama seperti vivo S30 Pro Mini dari China yang menunjukkan bahawa X200 FE mungkin hanyalah versi penjenamaan semula dengan sedikit perubahan untuk pasaran antarabangsa. Sekiranya spesifikasi dalaman dikekalkan seperti S30 Pro Mini, vivo X200 FE dijangka hadir dengan paparan AMOLED 120Hz, kedalaman warna 10-bit dan tahap kecerahan puncak sehingga 5,000 nits.

Salah satu ciri paling menonjol adalah bateri berkapasiti 6,500mAh berasaskan silikon-karbon yang menyokong pengecasan berwayar 90W dan serasi dengan protokol USB PD. Ciri tambahan lain mungkin termasuk pembesar suara stereo, pengimbas cap jari di bawah skrin serta penarafan kalis air dan habuk IP68/IP69.

Kamera hadapan pula beresolusi 50MP dan terletak di bahagian tengah dalam potongan lubang tebuk. Di bahagian belakang, peranti ini mungkin dilengkapi dengan tiga kamera termasuk sensor utama 50MP, lensa ultralebar 8MP dan kamera telefoto periskop 50MP dengan zum optikal 3x dan panjang fokus 70mm. Kedua-dua kamera utama dan telefoto dijangka menyokong penstabilan imej optikal (OIS).

Peranti ini dikhabarkan akan dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Namun begitu, vivo masih belum mengesahkan tarikh dan spesifikasi rasminya. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: X / Facebook vivo Malaysia

Exit mobile version