Site icon TechNave BM

vivo X200 FE dilancar di Malaysia: AMOLED 6.31″, Dimensity 9300+, 90W FlashCharge berharga RM3,199

vivo Malaysia hari ini memperkenalkan varian baharu dalam siri flagship vivo X200 iaitu vivo X200 FE. Ia merupakan varian yang paling kecil dalam siri vivo X200, dengan saiz skrin 6.31 inci sahaja. Sebagai rujukan, vivo X200 mempunyai saiz skrin 6.67 inci manakala vivo X200 Pro mempunyai saiz skrin 6.78 inci.

Telefon ini dilengkapi skrin LTPO AMOLED berukuran 6.31 inci sahaja dengan resolusi 1.5K (1216×2640), kadar segar semula 120Hz, kecerahan puncak 1,800 nits dan teknologi Zeiss Master Color Display untuk warna yang tepat.

Ukuran keseluruhannya ialah 150.8mm x 71.7mm x 8mm, dengan berat 186 gram sahaja. Pilihan warnanya termasuklah kuning Yellow Glow, hitam Black Luxe, biru Blue Breeze dan merah jambu Pink Vibe. Ia turut mempunyai rating kalis air IP68/69.

Cipsetnya menggunakan MediaTek Dimensity 9300+ manakala varian memorinya ditawarkan dalam kapasiti 12+256GB, 12+512GB atau 16+512GB. Walaupun telefon ini bersaiz kecil, ia masih mempunyai bateri BlueVolt berkapasiti 6,500mAh yang menyokong kadar pengecasan 90W FlashCharge.

Sistem operasinya menggunakan Android 15 dengan antara muka Funtouch OS yang turut dilengkapi fungsi-fungsi Google Gemini AI, seperti Circle to Seatch, AI Caption, Live Text dan AI Screen Translation.

Seperti varian X200 yang lain, X200 FE mempunyai kamera ZEISS yang terdiri daripada kamera utama 50MP, kamera telefoto 50MP dan kamera ultra-lebar 8MP di belakang, serta kamera hadapan 50MP. Ia mempunyai Mod Pentas untuk mengambil gambar konsert dan AI Telephoto Enhance untuk meningkatkan kualiti gambar zum.

Selain itu, terdapat juga efek bokeh klasik ZEISS untuk mencantikkan mod potret anda, serta Mod Fotografi Jalanan untuk mengambil gambar dengan cepat sambil mengekalkan kualiti yang cantik.

Berikut adalah spesifikasi penuh untuk vivo X200 FE:

vivo Malaysia sekarang sedang menganjurkan promosi khas sempena pra-tempahan untuk vivo X200 FE. Jika anda membuat pra-tempahan sebelum 4 Julai 2025, anda boleh mendapatkannya pada harga promosi iaitu RM2,999 sahaja. Pra-tempahan boleh dibuat di laman web vivo Malaysia, Shopee, Lazada dan TikTok Shop.

Setiap pra-tempahan akan disertakan dengan hadiah percuma seperti set paddle pickleball (bernilai RM259), fon telinga wayarles vivo TWS 3e (bernilai RM199), jaminan lanjutan 1+1 tahun dan jaminan perlindungan skrin tetak selama setahun.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version