vivo bakal memperkenalkan model terbaharu dalam siri X200 dengan vivo X200 Ultra yang dijangka membawa inovasi terkini dalam teknologi kamera melalui kerjasama dengan syarikat Jepun, Fujifilm.
Kerjasama ini bertujuan untuk memberikan pengalaman fotografi yang lebih profesional kepada pengguna dengan penambahbaikan dalam kualiti imej dan penghasilan warna. Selain itu, vivo X200 Ultra akan dilengkapi dengan cip A1 khusus yang menawarkan “kuasa pemprosesan pintar yang dipertingkatkan” untuk pengalaman fotografi yang lebih baik.
Antara ciri-ciri utama peranti ini termasuk sokongan rakaman video 4K pada 120fps dengan HDR, fungsi Live Photo baharu dan penstabilan 5-paksi. vivo juga merancang untuk memperkenalkan mod kamera baharu yang direka khas untuk penggemar fotografi dengan menawarkan kawalan dan ciri tambahan bagi mereka yang mahir dalam bidang ini.
Menurut laporan, vivo X200 Ultra dijangka dilancarkan pada April 2025, namun pelancarannya mungkin terhad dalam pasaran China sahaja seperti model terdahulu. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

