Site icon TechNave BM

vivo X90 Pro+ akan jadi telefon Snapdragon 8 Gen 2 pertama yang dijual

vivo telah melancarkan siri telefon pintar andalannya yang terbaru, vivo X90, pada bulan lepas yang terdiri daripada vivo X90, vivo X90 Pro dan vivo X90 Pro+. Mereka sudah mengesahkan bahawa vivo X90 Pro menggunakan cipset MediaTek Dimensity 9200, namun cipset untuk vivo X90 Pro+ tidak didedahkan dan sekadar ditulis sebagai cipset 4nm TSMC.

Kini vivo mengesahkan bahawa vivo X90 Pro+ bakal menggunakan cipset andalan Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 dan akan dijual bermula 6 Disember 2022. Ini juga menjadikannya telefon Snapdragon 8 Gen 2 pertama yang akan dijual di pasaran.

Pada asalnya, siri Xiaomi 13 dijangka akan menjadi telefon pertama yang dijual dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2, namun pelancarannya di China ditangguh bagi menghormati hari istimewa untuk negara tersebut.

Sebagai varian tercanggih, vivo X90 Pro+ dilengkapi spesifikasi tercanggih termasuklah skrin OLED 6.78 inci dengan kadar 120Hz, sokongan HDR10+ dan kecerahan puncak 1,300 nits, serta empat kamera di belakang yang menggunakan teknologi lensa Zeiss.

Setakat ini masih diketahui keberadaan telefon ini di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan siri vivo X90 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: vivo China

Exit mobile version