Selepas memperkenalkan vivo Y29 di India pada Disember 2024, vivo mengesahkan bahawa telefon pintar kelas pertengahan tersebut akan tiba di Malaysia tidak lama lagi. Lebih menarik, ia bukan satu-satunya model yang akan dilancarkan kerana vivo Y39 juga akan diperkenalkan secara serentak.
Menerusi laman Facebook rasmi vivo Malaysia, mereka mengumumkan bahawa kedua-dua peranti ini akan membuat kemunculan untuk pasaran tempatan pada 27 Februari ini. Pengumuman tersebut turut disertakan dengan poster pengacah yang menunjukkan reka bentuk bahagian belakang bagi kedua-dua model.
Daripada segi spesifikasi, tidak banyak kejutan kerana Y29 dan Y39 telah pun dilancarkan di pasaran lain. vivo Y29 hadir dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 6300, bateri 5500mAh dengan pengecasan 44W, paparan LCD 6.68 inci 120Hz serta kamera utama 50MP.
Sementara itu, vivo Y39 dilengkapi cip Qualcomm Snapdragon 4 Gen 2, bateri 6500mAh dengan pengecasan 44W, paparan LCD 6.88 inci dan kamera utama 50MP. Kepada yang berminat, anda perlu menunggu sehingga 27 Februari untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai harga dan promosi pelancaran.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan dua telefon terbaharu daripada vivo ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

