Site icon TechNave BM

vivo Y30g dilancar: Helio P65, bateri 5,000mAh, skrin 6.51 inci bermula ~RM947

vivo telah pun melancarkan vivo Y30 dalam pasaran Malaysia pada tahun lepas dan kini syarikat itu melancarkan sebuah lagi varian telefon tersebut iaitu vivo Y30g. Telefon ini mempunyai spesifikasi yang agak standard untuk telefon kelas pertengahan seperti skrin LCD dan dwi-kamera, namun baterinya agak besar daripada biasa iaitu sebanyak 5,000mAh.

Skrin LCD vivo Y30g berukuran 6.51 inci dengan resolusi HD+. Daripada segi kamera, ia mempunyai kamera utama 13MP dan sensor kedalaman 2MP manakala kamera swafoto pula adalah kamera 8MP yang berada dalam takuk berbentuk titisan air. Berikut adalah tiga pilihan warna untuk vivo Y30g:

Untuk spesifikasi dalaman, ia mempunyai cipset Helio P65, RAM 8GB, storan dalaman 128GB yang boleh dibesarkan dengan microSD sehingga 1TB, pengecasan 18W dan sistem operasi OriginOS berdasarkan Android 11. Ia turut dilengkapi pengimbas cap jari di bahagian sisi dan bicu audio 3.5mm.

vivo Y30g telah dilancar untuk pasaran China pada harga bermula CNY1,499 (~RM947) dan setakat ini masih tiada maklumat tentang keberadaannya di Malaysia. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan telefon ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version