Site icon TechNave BM

Wakil Nvidia mengatakan bekalan kad grafik akan mula pulih pada 2022

Masalah kekurangan semikonduktor di seluruh dunia telah menjejaskan pelbagai industri teknologi kerana komponen elektrik tidak dapat dihasilkan dengan banyak bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin tinggi. Ini termasuklah untuk industri kad grafik di mana pelanggan di kalangan gamers sukar membelinya kerana bekalan yang sedikit.

Walau bagaimanapun, masalah ini mungkin akan menjadi semakin pulih pada tahun ini. Menurut ketua pegawai kewangan (CFO) Nvidia, Colette Kress, bekalan kad grafik daripada syarikat itu akan kembali meningkat pada separuh kedua 2022.

Beliau berkata demikian dalam acara 24th Annual Needham Growth Conference dan juga menyatakan bahawa permintaan untuk kad grafik Nvidia kekal tinggi sepanjang 2021 dan besar kemungkinan akan terus tinggi pada tahun ini. Sungguh pun begitu, beliau tidak menyatakan secara jelas apakah perancangan Nvidia pada separuh kedua 2022.

Memandangkan Nvidia selalunya melancarkan siri kad grafik baru setiap dua tahun, mereka mungkin akan melancarkan siri GeForce RTX 4000 dengan seni bina (architecture) Ada Lovelace pada separuh kedua 2022. Sebagai rujukan, Nvidia telah memperkenalkan siri GeForce RTX 3000 Ampere pada bulan September 2020 dan siri GeForce RTX 2000 Turing pada September 2018.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: PC Gamer

Exit mobile version