Site icon TechNave BM

Warga emas kehilangan lebih RM420,000 selepas menjadi mangsa “scam”

Seorang wanita warga emas di Batu Pahat, Johor telah mengalami kerugian wang sebanyak RM426,450 selepas beliau ditipu oleh sindiket Macau Scam yang mendakwa bahawa beliau terbabit dengan jenayah dadah dan menipu individu bergelar “Datuk Seri.”

Menurut pihak polis Batu Pahat, wanita berusia 73 tahun itu mula diperdaya apabila beliau menerima sebuah panggilan telefon pada bulan Ogos lalu, di mana pemanggil memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

Pemanggil itu terus memperdayakan wanita tersebut dengan memberitahu bahawa beliau mempunyai hutang tertunggak dengan bank. Wanita itu turut disambungkan kepada seorang “Datuk Seri” dan meyakinkannya bahawa beliau terlibat dengan kes dadah.

Wanita tersebut digesa untuk membuat pembayaran bagi menyelesaikan “kes” tersebut dengan memindahkan wang ke akaun bank tertentu yang disediakan oleh pemanggil tadi.

Sejak beliau menerima panggilan pertama pada bulan Ogos, beliau telah membuat pembayaran sebanyak empat kali menerusi mesin deposit tunai dan pembayaran dalam talian dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM426,450.

Pihak polis akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika disabit kesalahan.

TechNave berharap para pembaca akan kekal berwaspada terhadap sebarang scam yang boleh muncul daripada panggilan telefon atau internet. Jika anda menerima panggilan telefon atau mesej yang meragukan, anda dinasihatkan untuk memutuskan hubungan serta-merta. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: BERNAMA

Exit mobile version