Site icon TechNave BM

Warga OKU bakal rancakkan industri perniagaan dalam talian

Walaupun mereka serba kekurangan daripada segi tubuh badan, tidak bermakna golongan orang kurang upaya (OKU) tidak mampu bersaing dalam perniagaan. Baru-baru ini, MYNIC Berhad, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), mengumumkan akan melatih beberapa organisasi OKU untuk membantu transformasi perniagaan mereka yang sedia ada daripada luar talian kepada dalam talian.

MYNIC bekerjasama dengan beberapa persatuan OKU seperti Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Persatuan Pemulihan Orang Cacat Malaysia dan OKU Sentral untuk melatih para ahlinya bermula Mac 2020.

Peserta akan diajar tentang pengoptimuman enjin carian (SEO) dan cara-cara menarik pelanggan daripada platform media sosial kepada laman sesawang mereka. Di samping itu, mereka juga akan diajar cara membangunkan laman sesawang dan strategi untuk meningkatkan jenama digital mereka.

Demi menggalakkan mereka untuk membangunkan laman sesawang sendiri, MYNIC menawarkan diskaun khas 50% seumur hidup kepada OKU bagi pendaftaran nama baharu domain ‘.MY’.

Jika anda berminat, boleh layari laman sesawang MYNIC untuk maklumat lanjut. Beritahu kami di Facebook jika ini adalah sesuatu yang bermanfaat untuk anda atau mana-mana kenalan anda dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version