Site icon TechNave BM

Waspada aplikasi perbankan palsu yang sangat menyerupai aplikasi sebenar

Sebelum ini kami telah melaporkan tentang laman web perbankan palsu yang sangat serupa dengan laman web bank sebenar, di mana scammer menggunakanya untuk memperdaya pengguna bank dan mendapatkan maklumat peribadi mereka. Kini scammer juga telah bertindak menghasilkan aplikasi perbankan palsu yang sangat serupa dengan aplikasi sebenar untuk tujuan yang sama.

Walaupun aplikasi palsu ini biasanya tidak disenaraikan dalam Google Play Store atau Apple App Store, ia masih boleh disebarkan kepada pengguna melalui mesej SMS atau WhatsApp. Sebagai langkah berjaga-jaga, jangan sesekali klik pada link pemasangan aplikasi perbankan daripada sebarang pihak ketiga kerana aplikasi tersebut mungkin adalah palsu.

Pastikan anda memuat turun aplikasi rasmi untuk bank anda di Google Play Store, Apple App Store atau HUAWEI App Gallery. Pihak bank juga menasihati pengguna untuk sentiasa mengemas kini sistem operasi dalam telefon agar ia tidak terdedah dengan sebarang risiko keselamatan siber. Jika mampu, pasangkan juga aplikasi anti-virus dalam telefon.

Jika anda memuat turun aplikasi palsu secara tidak sengaja dan merasakan maklumat anda telah tertiris, hubungi bank anda segera. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version