Site icon TechNave BM

Waspada dengan ‘peta Koronavirus’ – ia mungkin sebuah malware untuk mencuri data anda

Sewaktu dunia sedang bimbang dengan penularan wabak COVID-19, beberapa orang jahat mengambil kesempatan ini untuk mencuri data daripada orang ramai. Menurut laporan keselamatan siber daripada Reason Security, sebuah program komputer bernama Corona-virus-Map.com.exe berkapasiti 3.26MB sudah tersebar dalam komputer seluruh dunia.

Jika program itu diakses, ia akan mengaktifkan perisian bernama AZORult yang akan mencuri data penting dalam komputer seperti sejarah pelayaran internet, kata laluan & ID, cryptocurrency, kuki dan sebagainya. Selain itu, ia juga membuka ruang kepada malware lain untuk menceroboh dan memberi kebenaran kepada orang luar untuk mengakses komputer tersebut.

Dengan penyebaran wabak ini yang semakin parah, Reason Security menjangkakan lebih banyak malware seperti ini akan muncul. Jika anda ingin melihat peta penyebaran wabak COVID-19 yang sahih, anda boleh lawati peta interaktif oleh Universiti John Hopkins.

Adalah penting agar anda tidak panik dalam waktu yang mencabar ini bukan sahaja untuk kesihatan anda tetapi juga keselamatan data anda. Kongsi pendapat anda di Facebook kami tentang masalah ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Hacker News

Exit mobile version