Site icon TechNave BM

Wayang ‘drive-in’ Malaysia: Had maksimum 2 penonton dalam satu kereta

Anda pastinya sudah membaca khabar berita mengenai panggung wayang berkonsepkan drive-in yang bakal tersedia di Malaysia. Terkini, syarikat M-Junction yang bakal menyediakan kemudahan ini memaklumkan beberapa perkara yang anda perlu tahu!

Lokasi pertama panggung wayang drive-in ini adalah di Malaysia Tourism Centre (MATIC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Bersesuaian dengan konsep drive-in, dewan panggung wayang bakal ditempatkan di tempat letak kereta MATIC.

Seterusnya, terdapat hak maksimum untuk tontonan filem setiap sesi. Pihak syarikat menetapkan had maksimum sebanyak 50 kereta untuk satu sesi. Had penonton dalam satu kereta pula hanya terhad kepada dua orang. Ini bermakna cuma pemandu dan seorang penumpang sahaja. Had ini ditetapkan untuk memastikan kesemua penonton dapat menikmati pengalaman tontonan yang memuaskan.

Gambar: AFP

Selain itu, tempat adalah terhad. Memandangkan hanya 50 kereta dalam satu sesi tontonan, tempahan dan pembelian tiket adalah berkonsepkan ‘siapa cepat dia dapat’. Usah risau, snek wajib seperti bertih jagung adalah termasuk dalam pakej. Staf akan menghantarnya ke kereta anda.

Untuk pengetahuan anda, panggung wayang drive-in ini semestinya bakal menetapkan audio-visual khas untuk keadaan di luar. Pihak M-Junction memaklumkan bahawa filem akan dipaparkan pada skrin LED besar dengan teknologi transmisi audio melalui Bluetooth dan WiFi.

Gambar: M-Junction

Seperti panggung wayang biasa yang lain, terdapat pelbagai genre filem untuk dipertontonkan. Selain itu, tayangan filem juga akal dijadualkan semula jika cuaca tidak membenarkan tayangan (anda sendiri tahu tentang keadaan cuaca yang tidak menentu di Malaysia).

Sebagai maklumat tambahan, M-Junction bakal mengaplikasikan prosedur standard operasi (SOP) di panggung wayang drive-in ini. Pihak mereka juga bercadang untuk membuka lebih banyak panggung wayang drive-in di lokasi lain. Terdahulu, negeri Perak juga membuka panggung wayang drive-in tersendiri.

Adakah anda akan menonton di panggung wayang drive-in? Beritahu kami di laman Facebook dan kekal bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: vulcanpost

Exit mobile version