Kesatuan Eropah baru-baru ini mengarahkan Meta untuk membenarkan pengguna WhatsApp berinteraksi dengan pengguna dalam perkhidmatan pemesejan lain, seperti yang termaktub dalam Akta Pasaran Digital (DMA). WhatsApp akan membenarkan fungsi tersebut dan menggelarnya sebagai sembang pihak ketiga (third-party chats).
Di Eropah, pengguna WhatsApp boleh bermesej dengan pengguna aplikasi BirdyChat dan Haiket melalui fungsi sembang pihak ketiga. Mereka boleh saling berkongsi mesej, gambar, mesej suara, video dan fail serta mencipta kumpulan sembang yang melibatkan pengguna merentas aplikasi.
Meta telah mengambil masa tiga tahun untuk memperkenalkan fungsi ini yang selari dengan keperluan Kesatuan Eropah sambil mengekalkan privasi dan keselamatan untuk para pengguna.
Aplikasi pemesejan pihak ketiga ini perlu mempunyai penyulitan hujung-ke-hujung (E2EE) bagi memastikan keselamatan para penggunanya. Pengguna WhatsApp juga boleh memadamkan fungsi sembang pihak ketiga ini pada bila-bila masa.
Setakat ini, masih tiada maklumat jika fungsi sembang pihak ketiga ini akan ditawarkan untuk pengguna WhatsApp di luar Eropah.
Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Meta

