WhatsApp sedang mengusahakan ciri Tema Sembang (Chat Themes) baharu untuk mengubah latar belakang aplikasi yang kini dalam peringkat beta. Ia dilancarkan kepada sesetengah pengguna Android beta melalui Program Beta Google Play dan akan menjangkau pengguna lain tidak lama lagi.
Ditemui dalam versi beta Android 2.24.17.19, WhatsApp membolehkan pengguna untuk menyesuaikan skrin sembang, warna mesej dan kertas dinding bagi kenalan mereka dan menjadikan perbualan lebih menyeronokkan. Maklumat mendedahkan terdapat sekurang-kurangnya 10 pilihan tema sembang.
Pengguna WhatsApp boleh menambah kertas dinding baharu pada sembang kenalan dan mengubah warna gelembung mesej menjadikannya jauh lebih menarik. Pemilihan tema akan digunakan pada semua perbualan secara automatik. Tema sembang juga akan melaraskan kertas dinding dan warna gelembung berdasarkan tema yang telah anda pilih.
Ciri ini akan kekal terhad untuk anda sahaja dan pengguna lain tidak dapat melihat sebarang perubahan pada sembang, buih mesej atau kertas dinding mereka. Ciri Tema Sembang WhatsApp baharu akan menjadi tambahan interaktif kepada aplikasi. Pengguna umum perlu menunggu kemas kini yang stabil untuk menerima fungsi ini.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

