Site icon TechNave BM

WhatsApp bakal hadir dalam versi iPad

Selepas melancarkan ciri mesej menghilang dengan pilihan waktu, kini WhatsApp muncul dengan khabar angin baru bahawa aplikasi itu akan tersedia untuk platform iPad. Sebelum ini, aplikasi WhatsApp tidak boleh digunakan untuk semua siri iPad dan hanya boleh digunakan di iPhone sahaja (kecuali WhatsApp web).

WhatsApp menjaga privasi pengguna dengan menetapkan ciri keselamatan utama iaitu penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) bagi sesebuah peranti. Jika mahu menggunakan WhatsApp di platform lain seperti komputer, pengguna perlu menggunakan imbasan QR kod yang terdapat di peranti utama untuk mendaftar.

Kini, tertiris berita mengenai ciri baharu yang WhatsApp bakal perkenalkan iaitu fungsi ‘peranti terpaut’ (linked devices) yang mana ia berfungsi seperti WhatsApp Web tetapi di dalam peranti iPad atau tablet Android.

Kami masih belum menerima maklumat rasmi daripada pihak WhatsApp mengenai ciri baharu itu. Namun, melihat daripada kiriman yang telah tertiris di atas, sumber tersebut mengandaikan bahawa ciri ini sedang dalam fasa pembangunan dan akan hadir untuk kemas kini yang akan datang.

Tetapi, jika anda sudah menerima kemas kini WhatsApp versi beta iOS maka anda juga boleh menikmati aplikasi itu dalam versi iPad. Adakah anda menantikan ciri baharu yang bakal WhatsApp bawakan ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: engadget

Exit mobile version