Site icon TechNave BM

WhatsApp bakal jadi macam Telegram? Fungsi “username” kini dilancarkan secara berperingkat

WhatsApp kini secara rasmi mula membuka tempahan username untuk pengguna di seluruh dunia termasuk Malaysia, menjelang pelancaran penuh ciri tersebut dalam beberapa bulan akan datang. Fungsi ini membolehkan pengguna berhubung menggunakan username tanpa perlu terus mendedahkan nombor telefon peribadi mereka.

Bagi ramai pengguna, ia mungkin antara perubahan terbesar pernah dibuat pada WhatsApp kerana selama ini platform tersebut sangat bergantung kepada nombor telefon sebagai identiti utama akaun. Untuk yang mahu cuba lebih awal, pengguna hanya perlu mengemas kini aplikasi WhatsApp ke versi terkini dan pergi ke: Settings → Account → Username.

Namun jangan panik kalau pilihan itu masih belum muncul kerana WhatsApp mengesahkan pelancarannya dibuat secara berperingkat mengikut negara dan akaun pengguna sepanjang beberapa bulan akan datang. Anda juga akan menerima notifikasi apabila fungsi tersebut tersedia pada akaun masing-masing.

Menariknya, WhatsApp turut menegaskan bahawa sistem username ini bukan seperti media sosial biasa. Tiada direktori awam, tiada senarai cadangan username dan orang lain tidak boleh sekadar mencari nama anda untuk mula menghantar mesej. Sebaliknya, mereka perlu mengetahui username tepat untuk menghubungi anda buat kali pertama.

WhatsApp juga memperkenalkan fungsi tambahan dipanggil Username Key iaitu kod pilihan yang boleh digunakan untuk mengehadkan siapa yang boleh menghubungi anda walaupun sudah mengetahui username tersebut. Bagi pencipta kandungan, perniagaan kecil dan organisasi pula, WhatsApp akan membenarkan mereka menuntut username yang sama seperti akaun Instagram atau Facebook sedia ada jika masih tersedia.

Langkah ini dijangka memudahkan identiti jenama dikekalkan merentas platform Meta. Walaupun begitu, nombor telefon masih diperlukan untuk membuka akaun WhatsApp. Bezanya nanti, apabila anda menghantar mesej kepada seseorang atau sesebuah perniagaan buat kali pertama, nombor telefon tidak lagi dipaparkan jika fungsi username diaktifkan.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version