WhatsApp kini sedang membangunkan ciri imbasan dokumen dalam aplikasi untuk pengguna Android, selepas melancarkannya terlebih dahulu kepada pengguna iOS. Ciri ini membolehkan pengguna menangkap gambar dokumen terus melalui kamera dalam WhatsApp dengan melaras sudut untuk ketepatan dan menghantar dokumen yang telah diimbas terus ke dalam perbualan atau kumpulan.
Ia bertujuan memudahkan perkongsian dokumen tanpa perlu menggunakan aplikasi tambahan. Versi beta terkini WhatsApp untuk Android (2.25.18.29) menunjukkan ciri ini sedang diuji dan akan disertakan dalam kemas kini akan datang. Pengguna akan ditawarkan dua mod imbasan iaitu manual dan automatik. Mod manual memberi kawalan penuh kepada pengguna untuk mengambil gambar apabila bersedia, manakala mod automatik akan mengesan sempadan dokumen dan mengambil gambar secara automatik.
Selepas dokumen diimbas, ia akan ditukar terus menjadi PDF menggunakan API (Application Programming Interface) asli Android dan disimpan dalam peranti sebelum dihantar. Semua dokumen yang dihantar melalui WhatsApp akan dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption) bagi memastikan privasi pengguna terpelihara.
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

