Site icon TechNave BM

WhatsApp Group tambah ciri: Fail 2GB, reaksi emoji, pentadbir padam mesej & panggilan 32 ahli

WhatsApp telah mengumumkan ciri Komuniti (Community) untuk mengumpulkan kumpulan (groups) dengan minat yang sama. Komuniti pada asasnya adalah himpunan kumpulan. Pengguna boleh membuat Komuniti dengan menambahkan kumpulan yang menampilkan tema yang serupa.

Pentadbir komuniti boleh mengurus kumpulan dan menghantar mesej kepada semua kumpulan sekaligus. Dengan cara ini, pengguna dalam komuniti walaupun berbeza kumpulan akan mendapat pengumuman pada masa yang sama. Komuniti akan menyokong penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption).

WhatsApp menambah bahawa ia bukanlah seperti aplikasi yang lain. Mereka akan mengurangkan keupayaan untuk memajukan mesej kepada hanya satu kumpulan dalam satu masa untuk mengurangkan penyebaran maklumat yang salah dalam Komuniti.

WhatsApp juga akan melarang ahli atau pentadbir Komuniti dan membubarkan Komuniti jika terdapat aktiviti yang menyalahi undang-undang, ganas atau perkara yang tidak sepatutnya dalam Komuniti. WhatsApp juga memperkenalkan penambahbaikan kepada cara kumpulan berfungsi tidak kira sama ada mereka sebahagian daripada komuniti atau tidak.

Kumpulan boleh menghantar reaksi emoji manakala ahli yang lain boleh bertindak balas terhadap mesej tersebut tanpa menghantar mesej emoji berasingan. Ciri tambahan lain termasuk pentadbir boleh memadamkan mesej dalam kumpulan, saiz perkongsian fail dinaik taraf sehingga 2GB dan panggilan suara kini menyokong sehingga 32 ahli.

Ciri baharu akan dilancarkan minggu ini kepada pengguna kumpulan terpilih dan akan dilancarkan kepada orang awam secara perlahan-lahan. Kongsikan pendapat anda di Facebook kami dan nantikan berita seterusnya bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia. 

Sumber: Whatsapp

Exit mobile version