WhatsApp kini mengembangkan ciri membuka laman web terus (pelayar) dalam aplikasi yang sebelum ini diperkenalkan di Android (versi 2.25.14.10) kepada pengguna iOS melalui kemas kini beta terbarunya (versi 25.14.10.72). Ciri ini membolehkan pautan laman web perniagaan tertentu yang menggunakan sambungan HTTPS dibuka terus dalam aplikasi WhatsApp untuk memberikan pengalaman melayari yang lebih pantas dan lancar sambil mengekalkan privasi dan kawalan pengguna.
Penguji beta yang menggunakan versi iOS kini boleh mencuba pelayar dalam aplikasi ini di mana pautan yang layak tidak lagi akan dibuka secara automatik melalui pelayar luar seperti Safari atau Chrome. Sebaliknya, kandungan web tersebut akan dimuatkan terus dalam WhatsApp bagi membolehkan pengguna terus berada dalam aplikasi semasa melayari. Namun begitu, hanya pautan tertentu yang memenuhi syarat teknikal seperti penggunaan HTTPS dan kriteria khas untuk laman perniagaan sahaja yang boleh digunakan dengan ciri ini.
Walaupun ciri ini menambah kemudahan, WhatsApp masih memberi keutamaan kepada pilihan pengguna. Jika pengguna lebih selesa menggunakan pelayar luar, mereka boleh memilih untuk berbuat demikian melalui menu tiga titik. Fleksibiliti ini sesuai untuk situasi sama ada untuk melihat pantas katalog produk atau halaman khidmat pelanggan atau untuk tugasan lebih kompleks seperti mengisi borang atau log masuk.
Buat masa ini, ciri ini hanya tersedia untuk sebahagian penguji beta dan akan dibukakan kepada lebih ramai pengguna dalam minggu-minggu akan datang. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

