Anda pasti mengalami sedikit masalah untuk membawa dua telefon sekaligus terutamanya apabila anda membuat perniagaan kecil. Ini kerana WhatsApp hanya membenarkan satu akaun pada satu telefon tetapi nampaknya, perkara ini akan berubah tidak lama lagi.
Menurut Mark Zuckerberg di Facebook, anda kini boleh mempunyai dua akaun WhatsApp untuk log masuk pada masa yang sama. Ini sangat memudahkan pengguna yang kerap bertukar antara akaun WhatsApp kerja dan peribadi. Dengan itu, inisiatif ini akan meningkatkan keselamatan dan privasi anda dalam talian.
Untuk menggunakan akaun kedua, anda memerlukan nombor telefon kedua dan kad SIM atau telefon yang menerima berbilang SIM atau eSIM. Buka tetapan WhatsApp, klik pada anak panah di sebelah nama anda dan klik “Tambah akaun”. Anda boleh mengawal tetapan privasi dan pemberitahuan anda pada setiap akaun.
Sebagai peringatan, WhatsApp menasihati pengguna untuk hanya menggunakan aplikasi rasmi dan tidak memuat turun versi tiruan atau palsu bagi mengelakkan kebocoran privasi anda. Beri pendapat anda di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

