Site icon TechNave BM

WhatsApp kini sokong dua akaun dalam satu iPhone, pemindahan sembang lebih mudah

WhatsApp kini memperkenalkan beberapa ciri baharu bagi memudahkan pengurusan perbualan, pemindahan data dan penggunaan aplikasi pada pelbagai peranti. Kemas kini merangkumi fungsi mengosongkan storan dengan lebih mudah, sokongan pemindahan sejarah sembang antara platform, penggunaan dua akaun pada satu peranti dan ciri berasaskan AI.

Antara ciri utama yang diperkenalkan ialah pengurusan storan yang membolehkan pengguna mencari dan memadam fail bersaiz besar secara terus dalam mana-mana sembang tanpa perlu memadam keseluruhan perbualan. Pengguna hanya perlu membuka profil sembang dan memilih pilihan Manage Storage untuk mengenal pasti fail media besar yang boleh dipadam selain pilihan memadam media sahaja tanpa menjejaskan sejarah sembang.

Selain itu, fungsi pemindahan sembang kini menyokong pemindahan sejarah perbualan daripada iOS ke Android serta pemindahan dalam platform yang sama. Ini membolehkan pengguna menukar telefon dengan lebih mudah kerana mesej, foto dan video boleh dipindahkan dengan beberapa langkah sahaja. Dalam masa sama, WhatsApp turut memperkenalkan sokongan dua akaun dalam satu telefon untuk pengguna iOS, ciri yang sebelum ini sudah tersedia pada Android.

Pengguna juga akan melihat gambar profil bagi setiap akaun pada tab bawah aplikasi bagi memudahkan pemisahan antara akaun peribadi dan kerja. Kemas kini turut menambah baik ciri pelekat dengan cadangan pelekat berdasarkan emoji yang ditaip. Selain itu, fungsi suntingan gambar berasaskan Meta AI kini membolehkan pengguna mengubah suai foto sebelum dihantar dalam sembang termasuk membuang objek mengganggu atau menukar latar belakang.

WhatsApp juga menambah baik ciri AI Writing Help yang boleh mencadangkan balasan mesej secara automatik berdasarkan konteks perbualan sambil mengekalkan privasi sembang pengguna. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version