Site icon TechNave BM

WhatsApp kini tersedia secara rasmi untuk iPad

Selepas bertahun-tahun menanti, WhatsApp kini secara rasmi hadir untuk pengguna iPad. Ia diumumkan menerusi blog rasmi WhatsApp yang menandakan satu lagi langkah penting dalam pengembangan ekosistem pemesejan paling popular dunia itu.

Aplikasi WhatsApp untuk iPad ini menyokong semua fungsi utama seperti pemesejan, panggilan suara, video, perkongsian media dan pemindahan fail. Kesemuanya kini boleh diakses menerusi antara muka yang dioptimumkan untuk paparan lebih besar.

Versi ini turut menawarkan ciri baharu seperti panggilan kumpulan sehingga 32 peserta, perkongsian skrin dan penggunaan kedua-dua kamera hadapan serta belakang semasa panggilan video. Kesemua fungsi ini menjadikan iPad sebagai peranti komunikasi yang lebih serba boleh untuk kegunaan peribadi mahupun profesional.

Selain itu, WhatsApp untuk iPad direka bagi menyokong penuh fungsi multitugas iPadOS seperti Split View, Slide Over dan Stage Manager. Aplikasi ini juga serasi dengan Magic Keyboard dan Apple Pencil. WhatsApp untuk iPad juga menggunakan teknologi berbilang peranti yang membolehkan penyelarasan mesej, panggilan dan fail merentasi iPhone, Mac serta peranti lain dengan penyulitan hujung ke hujung yang terus dikekalkan.

Ciri tambahan seperti kunci sembang (chat lock) juga diperkenalkan untuk perlindungan privasi terutamanya jika iPad dikongsi bersama ahli keluarga. Aplikasi ini kini boleh dimuat turun terus daripada App Store dan boleh digunakan sama ada secara bebas atau disambungkan kepada akaun WhatsApp utama di telefon pintar.

Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version