WhatsApp mungkin tidak lama lagi membenarkan pengguna menghantar foto pada kualiti asal mereka selepas ciri itu dikesan pada versi beta aplikasi itu. Ini bermakna platform pemesejan milik Meta sedang menguji ciri tersebut dan mungkin disertakan dalam kemas kini aplikasi pada masa hadapan.
Pilihan untuk berkongsi foto dalam kualiti asalnya pertama kali dilihat oleh WABetaInfo. Ditemui pada WhatsApp beta untuk Android versi 2.23.211, terdapat ikon tetapan baharu dalam pengepala alat lukisan untuk memilih kualiti foto.
Melalui tetapan ini, pengguna mempunyai lebih kawalan ke atas pilihan kualiti foto yang mereka hantar termasuk kualiti asal dan HD. Pada masa ini, tiada pilihan untuk menghantar foto dalam kualiti asal dengan WhatsApp memampatkan (compress) foto yang dikongsi sekali gus kehilangan sedikit kualiti.
Kami masih menunggu pihak Whatsapp mengeluarkan kenyataan rasmi tentang kemas kini yang mengandungi ciri pilihan kualiti gambar untuk dipilih. Apakah pendapat anda tentang ciri yang penting ini pada kemas kini WhatsApp akan datang?
Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

