Site icon TechNave BM

WhatsApp perkenal akaun kawalan ibu bapa bagi pengguna kanak-kanak

Meta melalui platform pemesejan WhatsApp memperkenalkan ciri baharu akaun dikawal ibu bapa (parent-managed accounts) yang disasarkan kepada pengguna kanak-kanak. Ia kini sedang dilancarkan secara berperingkat di seluruh dunia dan bertujuan mengehadkan penggunaan aplikasi kepada fungsi asas seperti mesej dan panggilan sahaja.

Melalui ciri ini, ibu bapa akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam proses pendaftaran akaun anak. Akaun tersebut akan dipautkan kepada akaun ibu bapa dan dilindungi menggunakan PIN enam digit yang membolehkan ibu bapa mengawal beberapa tetapan penting termasuk siapa yang boleh menghubungi anak serta kumpulan WhatsApp yang boleh disertai.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menyemak permintaan mesej daripada kenalan tidak dikenali serta mengurus tetapan privasi akaun anak secara terus. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memberi kawalan tambahan kepada keluarga dalam mengurus penggunaan aplikasi pemesejan oleh pengguna muda.

Untuk menggunakan ciri ini, ibu bapa perlu memuat turun WhatsApp pada peranti anak dan memilih pilihan “Create a parent-managed account” semasa proses pendaftaran. Selepas nombor telefon dan tarikh lahir anak disahkan, ibu bapa perlu mengimbas kod QR pada telefon anak bagi memautkan akaun tersebut dengan akaun mereka sebelum menetapkan PIN kawalan.

Seperti kebiasaan kemas kini global lain, ia akan dilancarkan secara berperingkat dan mungkin mengambil sedikit masa sebelum tersedia kepada semua pengguna. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version