Site icon TechNave BM

WhatsApp perkenal panggilan video berkumpulan sehingga 8 orang

Sebelum ini terdapat berita bahawa WhatsApp akan meningkatkan bilangan orang yang boleh menyertai panggilan berkumpulan melebihi empat orang. Kini, WhatsApp mengeluarkan versi beta untuk panggilan video berkumpulan sehingga lapan orang pada satu masa.

Namun, ciri ini hanya diberikan secara beransur-ansur kepada pengguna WhatsApp yang berdaftar untuk mencuba kemas kini versi beta dalam iOS dan Android sahaja. Oleh sebab itu, pengguna lain mungkin perlu tunggu sedikit untuk mendapatkan ciri ini apabila ia dikeluarkan secara rasmi kelak.

Menurut WA Beta Info, kesemua lapan orang yang ingin menyertai satu panggilan perlu mempunyai WhatsApp versi yang sama dalam peranti mereka. Memandangkan perisian panggilan video berkumpulan seperti Zoom dan Skype Meet Now semakin banyak digunakan sewaktu kuarantin dalam pelbagai negara, WhatsApp juga merancang untuk memberikan perkhidmatan yang serupa.

Adakah anda akan menggunakan WhatsApp untuk membuat panggilan beramai-ramai selepas ini? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WA Beta Info

Exit mobile version