Site icon TechNave BM

WhatsApp perkenalkan fungsi mesej yang boleh hilang selepas 7 hari

Perkhidmatan permesejan WhatsApp telah menambah satu ciri baru dalam aplikasi itu iaitu Mesej Menghilang (Disappearing Messages). Dengan fungsi ini, sebarang mesej yang dihantar ke pihak individu atau berkumpulan boleh dipadamkan secara automatik selepas tujuh hari.

Dalam sebuah ruang FAQ di laman web WhatsApp, fungsi ini boleh dihidupkan oleh pihak penghantar mesej atau penerima mesej bagi permesejan secara individu. Dalam sembangan berkumpulan pula, hanya pentadbir kumpulan yang boleh menghidupkan fungsi Mesej Menghilang.

Fungsi ini boleh dikatakan menyerupai fungsi Snapchat atau Instagram Stories di mana sebarang kandungan yang dimuat naik akan dipadam secara automatik selepas tempoh yang ditetapkan. Dalam ruang FAQ tersebut, WhatsApp turut menyenaraikan senario di mana sebuah mesej yang sepatutnya dihilangkan tidak hilang secara automatik, seperti jika mesej yang sepatutnya dihilangkan itu dimajukan kepada penerima yang tidak mengaktifkan Mesej Menghilang.

WhatsApp juga menasihati pengguna agar hanya menggunakan fungsi ini bersama pihak yang dipercayai. Walaupun fungsi Mesej Menghilang sudah dihidupkan, penerima masih boleh mengambil tangkapan skrin (screenshot) atau menyimpan sebarang kandungan yang dihantar melalui fungsi ini.

Beritahu kami di Facebook jika anda akan menggunakan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version