Site icon TechNave BM

WhatsApp perkenalkan fungsi suntingan kapsyen untuk gambar dan video

Perkhidmatan pemesejan popular WhatsApp telah memperkenalkan fungsi suntingan baharu untuk peranti iOS dan Android. Ia kini membenarkan pengguna untuk menyunting kapsyen (edit caption) dalam pelbagai bentuk media seperti gambar, video, GIF dan dokumen, walaupun selepas media tersebut dihantar kepada pengguna lain.

Fungsi ini akan mula ditawarkan kepada para pengguna di seluruh dunia, namun sewaktu artikel ini ditulis, penulis masih belum menerima fungsi ini dalam telefonnya.

Perlu diingati bahawa suntingan hanya dibenarkan dalam tempoh 15 minit selepas mesej dihantar. Selain itu, suntingan hanya boleh dilakukan daripada peranti yang menghantar mesej tersebut.

Untuk menyunting kapsyen pada media seperti gambar atau video, anda hanya perlu tekan lama pada media tersebut, kemudian sebuah pilihan Edit Caption akan dipaparkan pada skrin. Perlu diingati bahawa WhatsApp anda perlu dikemas kini terlebih dahulu sebelum layak menerima fungsi ini.

Jadi, jika anda tersalah tulis kapsyen pada gambar atau video, anda tidak perlu lagi risau dan kini boleh membetulkannya dalam tempoh 15 minit selepas mesej itu dihantar.

Pada Mei lalu, WhatsApp sudah memperkenalkan fungsi suntingan mesej namun ia hanya boleh dilakukan untuk mesej teks dan bukannya untuk media. Kini, pengguna boleh turut menyunting kapsyen untuk media seperti gambar, video dan GIF.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan fungsi ini dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WA Beta Info

Exit mobile version