Jika anda merupakan seorang pemilik perniagaan kecil atau sederhana yang menggunakan WhatsApp sebagai alat komunikasi, anda mungkin boleh langgan kepada WhatsApp Premium pada masa hadapan untuk mengakses ciri-ciri khas untuk pemilik perniagaan.
Satu ciri unik pada WhatsApp Premium adalah ia membenarkan pemilik perniagaan untuk berkongsi pautan khas (custom business link) kepada para pelanggan bagi memudahkan interaksi di antara kedua-dua pihak. Ini bermaksud pelanggan tidak perlu menyimpan nombor telefon peniaga untuk menghantar mesej kepadanya, sebaliknya hanya perlu mengakses pautan pendek seperti https://wa.me/mybusiness.
Pautan ini boleh ditukar sekali sahaja dalam tempoh 90 hari dan ia akan dibatalkan sebaik sahaja pemilik akaun menamatkan langganan WhatsApp Premium.
Selain itu, pengguna WhatsApp Premium juga boleh menghubungkan sehingga 10 peranti serentak bagi memudahkan pengurusan mesej. Ini akan memudahkan peniaga apabila perniagaannya menjadi lebih besar dan mempunyai ramai pekerja bagi menguruskannya.
Sungguh pun begitu, WhatsApp Premium masih belum dilancarkan secara rasmi. Buat masa ini, ia hanya ditawarkan kepada para pengguna WhatsApp di beberapa negara terpilih yang berdaftar untuk mendapatkan fungsi beta.
Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan WhatsApp Premium dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: WABetaInfo

