Site icon TechNave BM

WhatsApp tampil jelaskan polisi privasi yang baru untuk kurangkan kekeliruan

Sejak Elon Musk menggesa netizen untuk berhenti menggunakan WhatsApp dan mula berpindah ke Signal, ramai orang telah mengikut nasihat individu perniagaan itu sehingga menyebabkan sistem pendaftaran Signal menjadi perlahan. Ini adalah susulan daripada perubahan dalam polisi privasi WhatsApp baru-baru ini di mana mereka dikatakan akan berkongsi data dengan perkhidmatan-perkhidmatan lain di bawah naungan Facebook.

Demi mengurangkan kekeliruan dan khabar angin yang menular, WhatsApp telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perubahan polisi tersebut. Mereka mengatakan segala mesej masih lagi dilindungi penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption) jadi Facebook masih tidak boleh mengakses mesej atau panggilan telefon pengguna.

WhatsApp turut menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai akses kepada lokasi, kenalan atau sejarah panggilan (call logs) mana-mana pengguna. Kumpulan sembang (group chats) masih kekal dilindung, manakala jika pengguna inginkan privasi tambahan, mereka boleh menggunakan fungsi mesej menghilang (disappearing messages).

Sebelum ini, WhatsApp menerima kontroversi berikutan polisinya yang dikatakan membenarkan data pengguna untuk dikongsi di kalangan syarikat-syarikat Facebook.

Kongsi pendapat anda tentang kenyataan WhatsApp ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version