Site icon TechNave BM

WhatsApp Web kini lengkap dengan panggilan suara, video dan “call transfer”

WhatsApp secara rasmi memperkenalkan sokongan panggilan suara dan video terus pada perkhidmatan WhatsApp Web. Pengguna kini boleh membuat serta menerima panggilan secara individu mahupun kumpulan terus dari pelayar web tanpa perlu memuat turun aplikasi perisian tambahan.

Ciri Web Calling ini menyokong perkongsian skrin, reaksi semasa panggilan serta tab Calls khas untuk melihat sejarah panggilan dan senarai kegemaran. Selain itu, semua panggilan menerusi pelayar web dilindungi dengan penyulitan hujung ke hujung (end-to-end encryption), tiada had masa dan boleh digunakan secara percuma.

Bersama pengumuman ini, WhatsApp turut memperkenalkan ciri Call Transfer yang membolehkan pengguna memindahkan panggilan kumpulan yang sedang berlangsung dari telefon atau tablet ke WhatsApp Web atau Desktop tanpa perlu memutuskan panggilan.

Seterusnya, fungsi Waiting Room turut ditambah bagi mengawal penyertaan panggilan kumpulan menerusi pautan panggilan yang memerlukan kebenaran hos sebelum menyertai siri perbualan. Bagi meningkatkan kualiti audio dan visual, WhatsApp menambah ciri QuickHD untuk paparan video berdefinisi tinggi serta-merta pada saat awal panggilan.

Ciri Noise Suppression juga ditawarkan bagi memadamkan bunyi latar belakang dan boleh diaktifkan menerusi tetapan semasa panggilan. Kesemua kemas kini sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada semua pengguna. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: WhatsApp

Exit mobile version