Site icon TechNave BM

Wi-Fi 6GHz diluluskan oleh pihak berkuasa AS, perkembangan terbesar selepas 20 tahun

Suruhanjaya Komunikasi Persekutuan (FCC) Amerika Syarikat telah meluluskan penggunaan Wi-Fi dalam band 6GHz untuk kegunaan awam. Ini bermaksud router Wi-Fi yang digunakan oleh orang awam kini boleh memancarkan signal Wi-Fi dalam jurang frekuensi yang lebih luas. Pada masa ini, router Wi-Fi untuk kegunaan awam hanya memancarkan dalam dua band iaitu 2.4GHz dan 5GHz.

Ini adalah perkembangan terbaru buat teknologi Wi-Fi selepas FCC meluluskan Wi-Fi untuk kegunaan awam pada 1989. Band 6GHz dengan spektrum 1,200MHz dijangkakan akan memberi lebih banyak ruang kepada router dan pelbagai peranti memancarkan signal mereka, jadi ini akan mengurangkan sebarang gangguan (interference) dalam pemancaran signal.

Ini tidaklah bermakna kelajuan internet anda akan menjadi lebih laju daripada Wi-Fi 5GHz atau 2.4GHz, namun 6GHz menawarkan hubungan internet yang lebih stabil dan tidak menurunkan kelajuan internet anda secara tiba-tiba akibat pancaran spektrum yang sesak (spectrum congestion).

Menurut persatuan piawaian Wi-Fi Alliance, produk terawal yang dilengkapi Wi-Fi 6GHz akan mula berada di pasaran bermula akhir tahun ini dengan piawaian “Wi-Fi 6E“. Kongsi pendapat anda tentang berita ini di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: The Verge

Exit mobile version