Site icon TechNave BM

Widget penukar mata wang Google kini kembali selepas lebih setahun “menghilang”

Selepas lebih setahun menghilang, widget penukar mata wang Google kini kembali apabila pengguna membuat carian melibatkan mata wang Ringgit Malaysia (MYR). Fungsi ini sebelum ini telah ditarik balik oleh Google pada Mac tahun lalu selepas kontroversi kadar tukaran yang salah antara Dolar Amerika Syarikat (USD) dan Ringgit Malaysia.

Kesilapan tersebut mengundang teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang seterusnya menyebabkan Google menyahaktifkan widget itu bagi menyelesaikan isu teknikal yang timbul. Namun hari ini, fungsi tersebut muncul semula secara mengejut.

Kini, apabila pengguna membuat carian seperti “MYR to USD”, widget penukar mata wang itu akan dipaparkan sebagai salah satu hasil utama sama seperti sebelum ia dihentikan. Tambahan, apabila pengguna klik pada pautan “More about MYR/USD”, mereka akan dibawa ke maklumat tambahan daripada Google Finance termasuk sejarah kadar tukaran antara MYR dan mata wang lain.

Walaupun tidak diketahui perubahan teknikal yang telah dilakukan oleh Google, kemunculan semula widget ini disambut baik oleh pengguna. Namun, Google Finance mengingatkan bahawa kadar tukaran mungkin tidak tepat dan pengguna disarankan menyemak kadar semasa sebelum membuat transaksi.

Beritahu pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version