Site icon TechNave BM

Wuling kini tiba di Malaysia – EV pertama bawah RM100k bakal dilancar tahun ini

Tan Chong Motor Holdings secara rasmi mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk memperkenalkan jenama automotif China Wuling ke pasaran Malaysia di bawah jenama TQ Wuling.

Dengan kerjasama pengeluar kereta China SAIC-GM-Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling), Tan Chong telah menandatangani perjanjian komitmen pelaburan (ICA) untuk memulakan pemasangan komponen secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur. Sasaran utama ialah menyediakan kereta elektrik yang dijual pada harga bawah RM100,000 dalam pasaran Malaysia.

Wuling Bingo EV adalah model subkompak lima pintu yang popular di China dan bakal ditawarkan dengan dua varian motor elektrik iaitu 30kW dan 50kW yang dipadankan dengan bateri LFP berkapasiti 17.3 kWh hingga 37.9 kWh yang mana boleh mencapai jarak pemanduan antara 203km hingga 410km mengikut standard CLTC.

Ini merupakan satu langkah strategik Tan Chong untuk menghidupkan semula pengaruhnya dalam industri automotif selepas beralih daripada penjenamaan Nissan dan kini memfokuskan kepada mobiliti elektrik mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Langkah membawa jenama Wuling juga selari dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penggunaan EV di Malaysia sambil memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna yang mahu beralih kepada kereta elektrik tanpa perlu berbelanja besar.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version