Site icon TechNave BM

WWDC26: Apple Intelligence dan Siri baharu sah ke Malaysia tidak lama lagi

Apple memperkenalkan Siri baharu yang dikuasakan Apple Intelligence pada acara WWDC26 yang membawa ciri pemahaman kandungan skrin, konteks peribadi pengguna dan penjanaan imej fotorealistik. Siri baharu ini dibina menggunakan Apple Foundation Models dengan sokongan model AI pihak ketiga termasuk Google Gemini.

Ia akan diperkenalkan kepada pembangun menerusi versi beta iOS 27, iPadOS 27, macOS 27, watchOS 27, visionOS 27 dan tvOS 27 sebelum dilancarkan kepada pengguna umum pada suku ketiga 2026. Antara peningkatan terbesar ialah keupayaan Siri untuk memahami kandungan yang sedang dipaparkan pada skrin dan bertindak balas berdasarkan konteks tersebut.

Siri juga boleh memanfaatkan data peribadi seperti e-mel, mesej dan foto bagi memberikan jawapan yang lebih relevan serta menghasilkan kandungan mengikut gaya penulisan pengguna. Apple berkata pemprosesan AI akan dijalankan secara hibrid menggunakan kuasa pemprosesan pada peranti dan sistem Private Cloud Compute untuk tugasan yang lebih kompleks.

Apple turut memperkenalkan aplikasi Siri khusus yang membolehkan pengguna menyemak semula perbualan terdahulu. Selain itu, Apple mendakwa aplikasi boleh dilancarkan sehingga 30 peratus lebih pantas dalam iOS 27 dan iPadOS 27 manakala pemindahan fail melalui AirDrop kini sehingga 80 peratus lebih laju. Daripada segi antaramuka, Apple memperkenalkan ciri Liquid Glass yang membolehkan pengguna melaras tahap ketelusan ikon mengikut citarasa masing-masing.

Beberapa ciri AI baharu lain yang turut diumumkan termasuk Spatial Reframing yang membolehkan komposisi dan sudut gambar diselaraskan semula selepas foto diambil manakala Notify Me dalam Safari boleh memantau laman web tertentu dan memaklumkan pengguna mengenai perubahan seperti promosi atau tawaran harga.

Apple juga menaik taraf Image Playground dengan keupayaan menjana imej fotorealistik melalui arahan teks. Pada masa sama, ciri kawalan ibu bapa dipertingkat dengan pilihan menyekat kandungan bogel dan keganasan grafik, menetapkan had penggunaan aplikasi serta mengawal akses kepada platform media sosial. Buat masa ini, Apple Intelligence menyokong bahasa Inggeris, Vietnam, Cina, Jepun serta Korea. Sokongan untuk bahasa Melayu masih belum diumumkan.

Bagi menggunakan ciri Apple Intelligence dan Siri AI baharu, pengguna memerlukan peranti yang serasi seperti siri iPhone 16 dan ke atas, iPhone 15 Pro dan iPhone 15 Pro Max, iPad dengan cip M1 atau lebih baharu, iPad mini A17 Pro, komputer Mac berasaskan cip M1 atau lebih terkini, Apple Watch Series 9 dan ke atas, Apple Watch Ultra 2, Apple Watch SE generasi ketiga serta Vision Pro.

Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version