Satu memo dalaman Microsoft yang ditiriskan mendedahkan bahawa mereka sedang membangunkan emulator rasmi untuk menyokong permainan rentas platform. Pembangunan ini bertujuan membolehkan permainan daripada generasi Xbox asal (2001), Xbox 360, Xbox One dan Xbox Series dijalankan pada PC Windows serta konsol generasi akan datang.
Pembangun menggunakan nama kod Project Helix yang mana sistem emulator akan berfungsi mengikut terma opt-in dan penerbit permainan memegang hak penuh untuk memutuskan sama ada mahu menawarkan judul lama mereka dalam katalog Helix.
Menurut dokumen tersebut, Microsoft menanggung keseluruhan kos pembangunan teknikal dan ujian pensijilan tanpa mengenakan bayaran pemindahan (zero porting cost) kepada penerbit. Terdapat juga perancangan untuk program Disc to Digital yang membolehkan pautan lesen digital diberikan kepada pemilik cakera fizikal Xbox One dan Xbox Series X.
Lesen digital ini diikat pada akaun Microsoft bagi membolehkan permainan dimuat turun dan dimainkan di PC atau konsol baharu. Berdasarkan pelan masa yang tertulis dalam memo tersebut, sokongan perpustakaan Xbox asal dijangka mula dilancarkan di PC pada Oktober 2026. Peluasan bagi katalog Xbox 360 pula dijangka menyusul sekitar tahun 2027 atau 2028.
Sehingga kini, pihak Microsoft belum membuat pengumuman rasmi mengenai maklumat yang terkandung dalam memo berkenaan. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: The Verge

