Site icon TechNave BM

Xiaomi 12 bakal dilengkapi skrin 6.28 inci, lebih kecil berbanding Mi 11

Xiaomi bakal melancarkan telefon pintar andalan seterusnya, Xiaomi 12, pada 28 Disember 2021 dan mereka telah mula berkongsi lebih banyak maklumat tentang peranti tersebut.

Dalam sebuah poster terbaru, Xiaomi menunjukkan saiz skrin Xiaomi 12 yang akan berukuran 6.28 inci. Ini adalah lebih kecil sedikit berbanding saiz skrin telefon andalan tahun lepas, Mi 11, yang berukuran 6.81 inci. Xiaomi juga mengatakan lebar skrin tersebut adalah 69.9mm sahaja, membuatkannya mudah digunakan dengan satu tangan.

Selain itu, Xiaomi 12 juga telah mendapatkan pengiktirafan A+ daripada DisplayMate di mana skrin tersebut mempunyai kedalaman warna (colour depth) 10-bit, pelarasan kecerahan (brightness adjustment) 16,000, kaca kukuh Gorilla Glass Victus dan ketepatan warna (colour accuracy) yang tinggi.

Daripada segi fotografi, Xiaomi juga mengatakan siri Xiaomi 12 akan dilengkapi pemprosesan algoritma kamera yang lebih canggih, dengan pemprosesan lebih pantas untuk fotografi mod malap.

Xiaomi turut berkongsi teknologi penyejukan dalam Xiaomi 12, di mana ia mempunyai lapisan penyejukan wap (vapour chamber cooling) yang luas bagi mengawal suhu cipset Snapdragon 8 Gen 1. Saiz papan induk (motherboard) telefon ini telah dikecilkan berbanding Mi 11.

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengan Xiaomi 12 dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Sumber: Weibo

Exit mobile version