Site icon TechNave BM

Xiaomi 12S Pro bakal dilengkapi tiga kamera 50MP Leica dan cas pantas 120W

Xiaomi bakal memperkenalkan siri telefon pintar andalan seterusnya, Xiaomi 12S, pada malam ini dan kini syarikat itu telah pun mengesahkan beberapa spesifikasi khusus untuk Xiaomi 12S Pro.

Xiaomi 12S Pro bakal dilengkapi cipset Snapdragon 8+ Gen 1, skrin AMOLED E5 berukuran 6.73 inci dengan resolusi QHD+, kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 1,500 nits. Dengan cipset pantas itu, Xiaomi mengatakan telefon ini mempunyai markah yang sangat tinggi dalam penanda aras AnTuTu iaitu sebanyak 1,113,135.

Satu ciri yang sangat menarik untuk telefon ini adalah kameranya yang bakal mempunyai tiga sensor 50MP di belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sensor Sony IMX707, kamera telefoto 2x 50MP dan kamera ultra-lebar 50MP dengan sudut penglihatan 115 darjah. Kamera ini bakal dibina dengan kerjasama syarikat fotografi terkenal Leica.

Selain itu, Xiaomi 12S Pro turut dilengkapi kadar pengecasan pantas 120W yang membenarkan pengecasan daripada 0% ke 100% dalam masa 19 minit.

Siri Xiaomi 12S akan terdiri daripada Xiaomi 12S, Xiaomi 12S Pro dan Xiaomi 12S Ultra. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version