Site icon TechNave BM

Xiaomi 12S Ultra baharu boleh digunakan bersama lensa kamera Leica M

Xiaomi telah memperkenalkan siri telefon pintar andalan Xiaomi 12S Ultra pada bulan Julai lalu dan ia menampilkan kebolehan fotografi yang sangat mantap, dengan sensor kamera Sony IMX989 berukuran 1 inci. Kini Xiaomi memaparkan sebuah telefon konsep untuk Xiaomi 12S Ultra yang boleh digabungkan dengan lensa kamera profesional daripada Leica.

Xiaomi 12S Ultra yang telah diubah suai ini mempunyai bonggol kamera di belakang yang berlainan dengan Xiaomi 12S Ultra asal. Bonggol kameranya mempunyai cincin yang boleh dihubungkan dengan lensa kamera Leica M untuk kualiti fotografi yang lebih tinggi.

Selain itu, bonggol kameranya juga telah diperkukuh bagi menangani berat tambahan daripada lensa yang dipasang.

Telefon ini mempunyai dua sensor berukuran 1 inci yang boleh menangkap cahaya terus daripada lensa yang dipasang dan bukannya daripada lensa telefon, manakala permukaanya dibuat dengan kaca nilam (sapphire) untuk mengelakkan sebarang kesan calar sewaktu memasang atau menanggalkan lensa.

Dalam sebuah video pendek, Xiaomi mengesahkan bahawa lensa yang boleh dihubungkan kepada telefon ini mempunyai nilai apertur f/1.4-f/16. Telefon ini juga menawarkan fungsi fotografi yang canggih seperti focus peaking, garisan zebra, histogram dan sokongan imej RAW 10-bit.

Sungguh pun begitu, Xiaomi masih belum mengesahkan sama ada mereka mempunyai perancangan untuk menjual telefon konsep ini. Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version