Site icon TechNave BM

Xiaomi 17 bakal dilancar sebagai telefon pertama dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5

Selepas Qualcomm mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan cipset andalan (flagship) baharu Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 tidak lama lagi, Xiaomi pula mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan siri telefon andalan Xiaomi 17 yang akan menggunakan cipset tersebut.

Ini menjadikan siri Xiaomi 17 sebagai telefon pertama yang dilengkapi cipset terkini oleh Qualcomm. Menariknya, ini juga bermaksud Xiaomi telah melangkau nombor “16” dan terus melompat daripada “Xiaomi 15” yang dilancar pada Oktober 2024 kepada “Xiaomi 17” yang akan dilancar pada akhir tahun ini.

Ia terdiri daripada tiga varian utama iaitu Xiaomi 17, Xiaomi 17 Pro dan Xiaomi 17 Pro Max.

Dalam sebuah kenyataan di Weibo, presiden Xiaomi Lu Weibing menjelaskan bahawa sebab mereka melangkau nombor “16” adalah bagi memudahkan siri Xiaomi 17 untuk bersaing dengan siri iPhone 17. Ia akan membuatkan para pengguna meletakkan siri Xiaomi 17 sebagai produk yang setaraf dengan siri telefon Apple itu.

Beliau mengatakan Xiaomi telah melabur lebih daripada 100 bilion yuan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sepanjang lima tahun lalu untuk membangunkan produknya dan akan terus meningkatkan jumlah pelaburan itu kepada 200 bilion yuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Adakah anda berminat dengan telefon andalan baru Xiaomi? Beritahu kami di Facebook dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version