Xiaomi mula mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai Xiaomi 17 Max menjelang pelancarannya yang dijangka berlangsung hujung bulan ini di China dengan fokus utama pada bateri besar, paparan premium dan sistem kamera mercu.
Antara tarikan utama ialah bateri 8,000mAh yang disahkan Xiaomi sebagai yang paling besar pernah digunakan dalam telefon pintar mereka. Peranti turut menyokong pengecasan 100W dan wayarles 50W serta menggunakan teknologi bateri silikon-karbon bagi mengekalkan rekaan lebih nipis walaupun kapasiti meningkat.
Xiaomi 17 Max hadir dengan skrin 6.9 inci “Super Pixel” yang menggunakan susunan sub-piksel RGB baharu bagi menawarkan ketajaman hampir setara 2K sambil menjimatkan penggunaan tenaga berbanding panel OLED 1.5K biasa. Paparannya juga menggunakan bahan luminasi merah baharu untuk meningkatkan kecerahan dan ketepatan warna.
Untuk kamera, ia akan menjadi telefon pertama Xiaomi dengan kamera utama 200MP sokongan Leica dan dipadankan dengan kamera telefoto periskop 50MP 3x serta ultra lebar 50MP. Gabungan ini direka untuk meningkatkan keupayaan zum dan fotografi pelbagai jarak tanpa terlalu bergantung pada potongan digital.
Kuasa pemprosesan pula disokong oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Sama-sama nantikan kemunculan Xiaomi 17 Max yang dijangka dilancarkan pada 21 Mei di China. Kongsi pendapat anda di Facebook kami dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.
Sumber: Weibo

