Site icon TechNave BM

Xiaomi Automatic Smart Door Lock dilancar di Malaysia, kunci pintu dengan imbasan cap jari berharga RM1,899

Xiaomi Malaysia telah melancarkan sebuah produk terbaru dalam kategori kelengkapan rumah iaitu kunci pintu pintar Xiaomi Automatic Smart Door Lock. Kunci ini menampilkan pelbagai fungsi yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi keselamatan rumah anda, sambil menampilkan rekaan yang bergaya.

Kunci pintar ini dibina dengan aloi berkekuatan tinggi dan dilengkapi lampu penunjuk LED (light indicator) yang boleh mengunci dan membuka kunci secara automatik. Kaedah penguncian boleh dilakukan dalam beberapa cara, termasuklah pengimbasan cap jari, kod PIN, komunikasi medan hampir (NFC) atau kawalan suara melalui Apple Home App atau Siri.

Untuk keselamatan tambahan, kunci pintar ini boleh menjana kod PIN rawak (scrambled) 20 digit untuk mengelakkan intipan dan kata laluan sementara untuk kegunaan tetamu atau pelawat luar. Xiaomi juga mengatakan ia mempunyai 10 fungsi keselamatan, termasuklah lima penggera, penguncian dwi-sensor dan banyak lagi.

Pengguna boleh menghubungkan kunci ini dengan aplikasi Xiaomi Home untuk semak status dan rekod penguncian, serta menambah atau mengurangkan senarai pengguna yang boleh membuka kunci.

Xiaomi Automatic Smart Door Lock akan dijual pada harga RM1,899 dan boleh dibeli dari kedai pengedar sah Xiaomi, Lazada atau Shopee. Pemasangan percuma akan turut disertakan bersama setiap pembelian.

Pelanggan yang membelinya sebelum 15 Julai 2023 akan menerima hadiah percuma yang terdiri daripada Xiaomi Outdoor Camera AW200 (bernilai RM149) dan Xiaomi Smart Hub 2 (bernilai RM199).

Beritahu kami di Facebook jika anda berminat dengannya dan teruskan bersama Rakan Teknologi Utama Malaysia untuk berita teknologi terkini.

Exit mobile version